Isu Berkaitan MURSHID Multaqa Asatizah & Duat Malaysia

Murshid bukan Parti Politik

MURSHID adalah entiti bukan parti gabungan ilmuwan dan dakwah ditubuhkan untuk menjelaskan politik berteraskan syariah sebagai asas pentadbiran dan pemerintahan menurutkan islam.

Pengerusinya, Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, ia ditubuhkan sejak 2012 sebagai tanggungjawab sosial untuk membantu orang ramai mengenai agama Islam.

“Kami tidak terlibat dengan parti politik. Terpulang kepada persepsi masing- masing tetapi kami mahu berkongsi yang terbaik dengan masyarakat,” ujar Dr Zaharuddin. [4]

Dr Khairuddin keluar MURSHID

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang lebih dikenali sebagai Dr Takiri telah mengumumkan penarikan dirinya daripada menganggotai Multaqa Asatizah dan Du'at (MURSHID), sebuah NGO Islam yang menghimpunkan para pendakwah dari pelbagai latar belakang.

Demikian menurut kenyataan ringkas dalam facebook beliau awal pagi 22 September 2012 tanpa menjelaskan sebarang sebab penarikan diri.

Kenyataan beliau adalah seperti berikut: "Saya dengan ini mengumumkan penarikan diri daripada menjadi ahli MURSHID ( Multaqa Asatizah dan Du’at ). Moga MURSHID lebih maju dalam arena dakwah membawa mesej Islam. Saya bersedia untuk bersama MURSHID dalam apa sahaja program ilmu dan dakwah yang dianjurkan insyAllah”. [5]

Ulama menjadi calon Pilihanraya

Murshid menyambut baik penglibatan ilmuwan Islam sebagai calon Pilihanraya Umum Malaysia. Menurut Presidennya, golongan ulama wajar menyertai pilihan raya kerana mereka mewakili rakyat akan duduk bersama-sama jabatan kerajaan untuk membuat dasar setelah memenangi kerusi berkenaan.

Menurutnya lagi, ulama perlu ditonjolkan kerana kecenderungan umat Islam terhadap ajaran Islam meningkat, mereka tidak perlu lagi berdakwah di pondok, masjid dan surau.

Ulama akan merasai proses pilihan raya. Mereka perlu bercampur dengan masyarakat kerana ia tuntutan sebagai seorang ulama, ujar Dr Zaharuddin Abd Rahman. [6]

Murshid gesa kerajaan bebas baki tahanan ISA

Pada 10 Julai 2012, Murshid menggesa agar:

  1. Kerajaan membebaskan baki tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan segera menutup Kem Kemunting sebagai mengotakan janji yang telah dibuat oleh Perdana Menteri tahun lalu.
  2. Kerajaan perlu membawa tahanan terbabit ke muka pengadilan bagi membicarakan kesalahan yang dilakukan mereka.
  3. Tahanan perlu diberikan peluang untuk membela diri melalui mekanisme undang-undang yang dibenarkan.
  4. Kerajaan harus menubuhkan satu suruhanjaya kebenaran dan konsolidasi untuk menyiasat dan memberikan keadilan kepada pihak yang sepatutnya. [7]

Pilihan Raya Umum dalam Musim Haji

MURSHID mengambil ketetapan bahawa adalah haram jika kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada musim haji.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, sekretariat sekumpulan 20 pendakwah berkata, jika PRU13 diadakan pada musim haji, ia merupakan satu pengkhianatan kepada amanah dan sistem pemilihan. [8]